ALANGKAH
bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam
bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara
langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi
secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah. Zaman Baginda itu
adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu
Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan
daripada Allah sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan
yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.
Inilah generasi
yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu Baginda menundukkan
dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom
dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan
individu di kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak mulia
mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.
Mereka mencipta
nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan
menyebar-luaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan mereka
kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian,
keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.
Bagaimana
dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?
Tidak dinafikan
bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara mereka ada yang diberikan
nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama Para Sahabat
seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid,
Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut
benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat
dalam mendepani segenap isu agama.
Alangkah
malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak
mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung
berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak lagi
menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari
kekurangannya.
Malah Islam
hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak
melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian,
penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara
mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak
menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam
sebenar.
Inilah yang
pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu, seolah-olah
ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa menerima wahyu daripada
Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah
kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud, daripada
Ali bin Abi Talib RA berkata:
“Telah bersabda
Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi
daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al Quran itu
kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia
kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di
bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada
merekalah fitnah itu akan kembali”. (Hadis riwayat Al Baihaqi)
Kalau kita
perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada
gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum sampai pun, ia
sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda sebutkan dalam hadisnya di atas
bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran
kenyataan baginda itu.
1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.
Islam hanya
tinggal namanya sahaja
Kelak akan
banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak
mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam
diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai
orang Islam melanggar syariat.
Solat mengikut
‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang
tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang
pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak di kedai judi dan
menghabiskan masa.
Ramai yang
bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato
agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam,
sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan
hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan
dengan ketentuan nas.
Sebenarnya
orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik sebagaimana
Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab:
“Kamu berbicara
tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. (Masnad
ar-Rabi’)
Al Quran hanya
tinggal tulisannya
Dalam banyak
hadis Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya agar membudayakan
pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang
sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada hati yang
berkarat dengan penyakit-penyakit dntakan dunia secara berlebihan.
Tujuan Al Quran
diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal aqidah, iman, beribadah
kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala
apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi
oleh manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan
perintah Allah yang ada di dalamnya.
Apa yang
mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk musabaqah
menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya.
Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih
setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum dengan
undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi
bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.
Masjid
tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah
Inilah
kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid umatnya pada
akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak
memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan kuliah
agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.
Terdapat masjid
yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah
nilai ringgit yang cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang menduka-citakan
kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau
barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah
ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang
paling cantik dan bersih.
Lahirnya ulama
jahat yang mementingkan periuk nasi daripada bercakap tentang Islam
Tidak dinafikan
juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran
di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda, justeru
itulah yang diingatkan oleh Baginda dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini
sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat
176 surah Al ‘Araf.
“Dan kalau Kami
kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan)
ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa
nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia
menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga
menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka
berfikir”.
Menurut Imam
Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai mufassirin
bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman
bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah
seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.
Menurut cerita
daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am
bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat
nama-nama Allah Yang Maha Besar [ Do'a Bal'am bin Ba'ura mustajab]. Setelah
peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang
terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan negeri
tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau
negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah
bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk
meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo'a] untuk
mengalahkan Nabi Musa AS.
Pada mulanya
Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak
bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama
kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan
beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah
bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.
Bal’am dengan
kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi
Musa AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu
tempat yang bernama Teh (sekarang : semenanjung Sinai) selama 40 tahun.
Kesesatan yang
maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan,
apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh ini?”.
Jawab Allah
SWT, “berpunca dari doa Bal’am”
Nabi Musa
berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am
terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.
Lalu, Nabi Musa
mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan
oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir
sepertimana anjing.
“Minta
berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”.
Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan pengajaran kepada
kita).
Kepentingan
dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga
ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan
kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga
sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili
maka dialah yang merasa bahang pedasnya.
Fitnah tersebar
akibat kedangkalan ulama-ulama jahat
Fitnah terhadap
Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim
yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama
Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini,
perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak
mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun
Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.
0 komentar:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !